25 April, 2020

Isu Ebit Lew: Mukhirz Mahathir kesal


PETALING JAYA: Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir menafikan tuduhan pihaknya atau wakil pejabatnya membuat laporan polis yang membawa kepada siasatan terhadap pendakwah bebas Ebit Lew.

Mukhriz berkata, beliau tidak pernah mengarahkan mana-mana pihak untuk membuat laporan tersebut.

“Saya kesal dengan tularan meluas di media sosial yang mengaitkan saya dan Pejabat Menteri Besar Kedah dengan tohmahan kononnya dermawan dan tokoh motivasi Ustaz Ebit Lew disoal-siasat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman susulan laporan yang difailkan oleh seorang pegawai saya.

“Siasatan dalaman juga mendapati tidak ada pegawai saya, pentadbiran mahupun politik, membuat laporan polis, walaupun atas kapasiti peribadi.

“Pihak saya turut difahamkan polis bertindak dalam bidang kuasa yang dibenarkan untuk memanggil Ustaz Ebit Lew memberikan apa-apa keterangan yang diperlukan bagi maksud tertentu walaupun tiada laporan difailkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mukhriz berkata pihaknya sedang mempertimbang untuk menyaman mana-mana pihak yang membuat tuduhan tersebut termasuk di media sosial yang menyebabkan namanya dan pentadbiran kerajaan negeri tercemar.

“Saya ingin menjelaskan di sini bahawa pentabiran kerajaan negeri Kedah tidak menyekat mana-mana pihak yang membuat kebajikan demi kesejahteraan masyarakat, asalkan ia mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan, termasuk peraturan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan serta panduan penjagaan kesihatan bagi mengelak jangkitan Covid-19,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk Lew yang bermurah hari membantu rakyat negeri jelapang padi itu.

Semalam, Lew mengumumkan menghentikan bantuan secara langsung kepada golongan memerlukan ketika PKP dikuat kuasakan, tetapi beliau akan terus membantu golongan tidak berkemampuan dengan memindahkan wang ke akaun mereka.

Beliau berbuat demikian selepas dipanggil memberi keterangan di Bukit Aman semalam berhubung laporan pihak mempertikaikan bantuannya.

Lew sebelum ini aktif membantu individu memerlukan sejak PKP bermula 18 Mac lalu, termasuk memberikan pelbagai sumbangan kepada petugas barisan hadapan.

Beliau turut berkongsi catatan di Facebook mengenai kunjungannya ke sebuah rumah usang dan kotor dengan seorang lelaki warga emas ditemui terlantar, tetapi ada pihak mempersoalkan peranan pihak berkuasa seperti kerajaan negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Zakat Negeri Kedah serta masyarakat sekeliling dalam membantu keluarga itu.

Katanya, beliau menggunakan wang sendiri sebanyak RM1 juta untuk membantu golongan memerlukan dan petugas barisan hadapan.


EmoticonEmoticon