21 April, 2020

Konon nak 'bincang' bantuan ketika PKP...

SEMBILAN lelaki yang berkumpul sambil meminum minuman keras ditahan dalam Ops Pintas Khas Covid-19 di belakang sebuah rumah di Kampung Bombong, di Tuaran, malam ini.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Hamizi Halim berkata, lelaki berusia lingkungan 40-an sehingga 60-an itu ditahan pada 7.10 malam selepas pihaknya menerima aduan orang awam berhubung kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran mendapati sembila lelaki berkumpul sambil meminum minuman keras tanpa mengendahkan arahan PKP

“Semua suspek mengenali antara satu sama lain dan mendakwa sedang berbincang mengenai program bantuan pek makanan kepada penduduk terjejas yang dianjurkan mereka sendiri,” katanya dihubungi.

Katanya, susulan itu, semua suspek ditahan selama tempoh 24 jam untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, bagi kesalahan mengingkari PKP, suspek disiasat mengikut Peraturan 11(1) Peraturan - Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No.3) 2020,” katanya.


EmoticonEmoticon