21 April, 2020

Sidang Dewan hanya sehari: PH pertimbang cabar keputusan di mahkamah

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) mempertimbangkan kemungkinan untuk mencabar di mahkamah keputusan mengadakan sidang Parlimen hanya untuk satu hari pada 18 Mei ini.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya sedang berurusan dengan pasukan peguam untuk kemungkinan tersebut.

"Walau apa pun, ini yang penting. Kita harus menegaskan dan menjelaskan bahawa ia bukannya sesi selama satu hari.

"Ia hanyalah sesi pembukaan. Titah Diraja Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Jika ia diumumkan sebagai satu hari, rata-rata orang akan menganggap sekurang-kurangnya ada sesi debat selama separuh hari, tetapi kali ini tiada," kata Anwar.

Beliau berkata demikian ketika ditemuramah dalam program Consider This di Astro AWANI 501 malam tadi.

Pada 17 April lalu, Setiausaha Dewan Rakyat Riduan Rahmat dilaporkan berkata, istiadat perasmian Parlimen telah ditetapkan untuk diadakan pada 18 Mei dan serentak itu diadakan mesyuarat Dewan Rakyat.

Perkara itu dinyatakan dalam notis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-14 yang dihantar kepada Ahli Parlimen.

Dinyatakan, penetapan itu mengambil kira pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana Dewan Rakyat akan diadakan bagi membincangkan Rang Undang-undang dan Usul Kerajaan sahaja, serta tiada sesi pertanyaan jawab lisan serta usul daripada Ahli Parlimen.


EmoticonEmoticon