30 Mac, 2021

Dicabul, rogol abang ipar


KOTA BHARU – Seorang buruh ladang kelapa sawit didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merogol dan mencabul adik iparnya yang berusia 11 tahun pada September tahun lalu. 

Tertuduh yang berusia 19 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin. 

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah merogol adik ipar yang berusia 11 tahun yang mana perhubungan dengan kanak-kanak perempuan itu tidak dibenarkan mengikut undang-undang, hukum agama, adat atau berkahwin dengannya. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lapan tahun hingga 30 tahun dan 10 sebatan jika disabitkan kesalahan. 

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak sama. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan. 

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di dalam bilik sebuah rumah di daerah Kuala Krai kira-kira pukul 8 pagi pada 2 dan 6 September 2020. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Amir Shariffuddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela. 

Terdahulu, Sharifah Amirda memohon tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap kedua-dua pertuduhan yang dihadapi tertuduh. 

Tertuduh dalam rayuannya merayu agar mahkamah menawarkan jaminan terhadap kedua-dua pertuduhan. Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan jaminan dan menetapkan tarikh 28 April depan untuk sebutan semula kes.-K! ONLINE